Isnin, 3 Mei 2010

SIRI (1) Dugaan & Halangan Seorang Pendakwah

Assalamu’alaikum…

Seperti yang kita sedia maklum, seorang pendakwah pasti ada dugaan dan halangan yang akan dihadapinya dalam membawa risalah Islam itu sendiri. Sebab itulah, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

“ Orang Mukmin sentiasa menghadapi 5 dugaan dan halangan yang susah iaitu :

1. Orang mukmin yang dengki kepadanya

2. Orang munafiq yang benci kepadanya

3. Orang Kafir yang memeranginya

4. Syaitan yang menyesatkannya

5. Nafsu yang merangsangnya

Orang Mukmin Yang Dengki Kepadanya

Penyakit yang menjadi-jadi dikalangan kita sekarang ini adalah adanya sifat hasad dengki dan permusuhan di antara orang ISLAM sendiri. Justeru itu, kalau kita lihat mengapa Umat Islam pada zaman sekarang ini tidak dapat menandingi atau mengatasi musuh-musuh Islam ialah kerana adanya sifat ini. Sifat ini telah diterangkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadith yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi yang bermaksud :

“ Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikus atau pencukur. Saya tidak maksudkan ia mencukur rambut, tetapi yang saya maksudkan ialah ia mengikis agama. ”

Seorang pendakwah yang menjadi penyokong dan pendukung Islam itu sendiri tidak dapat lari daripada golongan ini kerana mereka sentiasa intai-mengitai, dengki-mendengki, benci-membenci dan seumpamanya untuk menjatuhkan saudara seaqidahnya sendiri demi mencapai matlamatnya yang cukup-cukup jahat. Saya katakana begitu kerana selagi ada golongan ini, sesebuah Jema’ah atau Persatuan yang dibentuk tidak akan dapat bersatu atas nama Islam disebabkan oleh ahlinya yang mengamalkan sifat hasad dengki ini.

Sifat inilah yang menyebabkan kita sekarang berpecah-belah, tidak ada persefahaman, saling mengata-ngata diantara satu sama lain dan sebagainya sedangkan kita boleh berbincang dengan cara baik dengan pimpinan jikalau ada apa-apa masalah yang berkaitan sesuatu perkara. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini, kita meyebarkan sesuatu fitnah yang belum diketahui kesasihannya sehingga kita sanggup menjaja dalam blog-blog atau seumpamanya demi melepaskan geram kita kepada Jema’ah atau Persatuan yang sama-sama kita sayangi. Tidak takutkah kita kepada seksaan yang akan ditanggung di akhirat kelak? Mahukah kita termasuk dalam golongan yang memakan daging bangkai di hari Qiamat kelak? Sama-samalah kita muhasabah kembali…

Disebutkan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam hadith baginda yang bermaksud :

“ Mengumpat itu lebih buruk dari zina. Sahabat bertanya, bagaimana? Rasulullah menjawab : seorang yang berzina itu kalau bertaubat mungkin taubatnya diterima oleh Allah. Akan tetapi orang yang mengumpat tidak akan Allah ampunkan dosanya sehinggalah orang diumpatinya itu mema’afkannya. ”

( Hadith riwayat oleh Tabrani dan Baihaqi )

Telah disebut oleh Al-Imam Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin yang dikarang oleh beliau sendiri bahawa antara faktur yang menyebabkan seorang mukmin itu menjadi hasad dengki adalah kerana adanya :

1) Perasaan Permusuhan dan Kebencian

2) Merasa Diri Mulia

3) Takabbur

4) ‘Ujub

5) Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan

6) Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

7) Busuk Hati

Boleh dikatakan kesemua sifat tersebut telah menular dikalangan Umat Islam kini yang mengaku mengikut perintah Allah dan Rasul sedangkan kalau kita lihat kembali sebenarnya kita benar-benar termasuk daripada beberapa sifat yang disebutkan oleh Al-Imam Ghazali. Na’uzubillah…Kita selalu berdo’a kepada Allah Ta’ala agar diberikan kebaikan di dunia dan akhirat akan tetapi pada masa yang sama kita sendiri yang cuba memecah-belahkan Umat Islam.

Marilah bersama-sama kembali mencari petunjuk dan hidayah daripada Allah agar senantiasa ditetapkan hati-hati kita ke jalan yang diredhai-Nya. Kepada para Pendakwah, teruslah berjuang demi Islam tercinta dan jangan biarkan golongan ini menguasai kita…Islam for All.

Allah Ta’ala berfirman :

“ Dan katakanlah, “ Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Allah Ta’ala menjelaskan kepada kamu apa sebenarnya yang telah kamu kerjakan. ”

( Surah At-Taubah : Ayat 105 )